Saturday, 9 November 2013

Kesombongan Murni


Keyakinan akan dirimu sendiri lebih baik daripada yang lain adalah kebodohan murni. Bahkan kamu tidak boleh memandang seseorang kecuali kamu melihat dia lebih baik dan dia lebih unggul dari kamu. 

Apabila kamu melihat budak kecil, maka kamu berkata, "Budak ini belum pernah melakukan maksiat kepada Allah, sementara aku telah banyak melakukan maksiat. Oleh kerana itu, aku yakin dia lebih baik dariku."

Apabila kamu melihat orang tua, maka kamu berkata, "Orang ini telah lama beribadah kepada Allah sebelumku. Oleh  kerana itu, aku yakin dia lebih baik dariku."

Apabila dia seorang yang alim, maka kamu berkata, "Orang ini diberi sesuatu yang belum pernah diberikan kepadaku, mencapai sesuatu yang belum pernah aku capai dan mengetahui sesuatu yang belum pernah aku ketahui. Oleh kerana itu, bagaimana aku dapat sama dengannya?"

Apabila melihat orang bodoh, maka kamu berkata, "Orang ini telah melakukan maksiat kepada Allah dengan kebodohan, sedangkan aku telah melakukan maksiat dengan pengetahuan. Oleh kerana itu, hujah Allah ke atasku lebih kuat dan aku tidak tahu dengan apa kehidupanku akan ditutup dan dengan apa kehidupannya akan ditutup."

Apabila dia kafir, maka kamu berkata, "Aku tidak tahu boleh jadi dia memeluk Islam, kehidupannya ditutup dengan amal yang baik dan dengan Islamnya dia terlepas dari dosa sebagaimana sehelai rambut terlepas dari adunan roti. Adapun aku (wa al'iyadzu billah) boleh jadi Allah akan menyesatkanku, sehingga aku menjadi kafir dan kehidupanku ditutup dengan amal yang buruk."

Sehingga, esok dia menjadi seorang di antara orang yang didekatkan, dan aku menjadi seorang di antara orang yang dijauhkan.

Dengan demikian, kesombongan tidak akan hilang dari hatimu kecuali dengan mengetahui bahawa orang yang besar adalah orang yang besar di sisi Allah SWT. Perkara itu bergantung pada amal penutup dan amal penutup ini sesuatu yang diragui (tidak diketahui dengan yakin). Oleh kerana itu, ketakutanmu pada amal disertai dengan keraguan tentangnya akan menyibukkanmu dari menyombongkan diri kepada hamba Allah SWT.

- Imam Al-Ghazali -

No comments:

Post a Comment