Monday, 4 October 2010

RITA, sabar banyak-banyak taw!!!

 TERIMALAH SEADANYA RITA

BERAT hatinya meluahkan apa yang terbuku di hati, apatah ia lagi membabitkan soal peribadi. Sememangnya selama ini pun, dia jarang bercerita mengenai hal ehwal rumah tangga kepada orang lain.

Tapi kali ini, bukan mahu mendedahkan pekung di dada, jauh sekali menyebar kisah rumah tangga, namun tahap kesabaran Rita Rudaini Mokhtar, 34, ada batasan apabila perkahwinannya dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, 23, sering diuji.

Rumah tangga yang dibina atas dasar cinta selama ini sebenarnya tidak pernah bermasalah, malah mereka bahagia. Hanya sesekali `bergegar' dek kerana mulut dan campur tangan individu tertentu dan tidak keterlaluan dikatakan, keluarga mentua turut menjadi punca sengketa. 
Lebih menyakitkan, timbul gosip kononnya Rita menghalau ibu bapa Aidil sewaktu berkunjung ke rumah mereka, baru-baru ini. Cukup keterlaluan, sedangkan itu hanyalah fitnah semata-mata. Hakikatnya, ibu bapa mentua hanya sekali menjenguk Rita ketika dramatis terkenal itu bersalin anak pertamanya, Airit Rayyan Rizqin di Prince Court, Ampang, setahun lalu.

"Sudah lama saya mendiamkan diri, tetapi kali ini, tahap kesabaran saya ada batasannya. Tidak cukup lagikah memalukan saya dan keluarga selama ini?

"Dulu, bagi saya biarlah anjing menyalak bukit, kerana ia tidak akan runtuh. Tetapi kini keadaan semakin teruk. Semakin saya diam, semakin menjadi-jadi mereka memburukkan saya.


"Kali ini saya terpaksa buka mulut mempertahankan diri, apabila hak dan maruah saya bagai dipijak-pijak.
"Hubungan saya dengan beberapa wartawan terjalin baik sejak lebih 10 tahun. Apa saja cerita baik dan buruk sampai semula ke pengetahuan saya. Saya hairan kenapa pelakon Ayu Raudhah turut campur tangan dalam urusan keluarga saya?” kata Rita sambil merenung jauh, sambil sesekali mengusap air matanya yang bergenang, mungkin terlalu sebak memikirkan apa yang sedang berlaku ketika ini.


Menurutnya, kalau sekalipun mahu mengambil hati bakal keluarga mentua, kenapa perlu mengaitkan dirinya dan menyakiti dirinya dengan menyebarkan fitnah keterlaluan.

"Saya tidak pernah mengenalinya secara rapat. Saya hanya bertemunya hanya sekali, ketika Ayu menjadi pelakon tambahan dalam drama Rafflesia.

"Itupun bekas kekasihnya, Pekin yang memperkenalkannya. Saya tidak tahu apa yang menyebabkannya cemburu, sakit hati dan sanggup menyebarkan fitnah. Kalau pasal saya ada hubungan dengan bakal suaminya, Mohd Zaquan Adha, itu cerita lama,” jelas pelakon ini lagi.


Menurut Rita lagi, tidak perlulah hendak bercerita dan mengungkit kisah peribadinya yang lampau kerana itu semua sudah berlalu kerana yang penting sekarang ialah kehidupan masa depan.

"Suami dan rakan-rakan baik tahu apa yang berlaku. Tidak perlulah ungkit cerita lama. Saya tidak mahu mengaibkan sesiapa. Saya nak jelaskan - kalau kaki disko, pemabuk dan kaki perempuan seperti itu, memang tidak sesuai dengan saya.

"Apa yang dilakukan, lebih mengeruhkan hubungan saya dengan keluarga mentua. Apa yang diceritakan keluarga mentua disebarkan kepada wartawan hingga menjadi gosip dalam beberapa akhbar. Saya cukup terkilan.


"Dia bukan hanya menabur cerita yang bukan-bukan kepada rakan wartawan, malah turut bercerita keburukan saya pada orang produksi (pekerja penerbitan filem atau drama).

"Bagi saya, kalau nak buat fitnah cermin diri dulu. Dia baik sangat ke? Sebelum menjaga tepi kain orang, tengok kain sendiri yang sudah koyak rabak. Bukan orang industri tak tahu perangainya selama ini. Janganlah bersikap lebih sudu daripada kuah," katanya.
"Cukuplah terima saya seadanya"

ANAK kelahiran Kangar, Perlis itu berkata, bukan dirinya tidak pernah cuba berbaik-baik dengan keluarga mentua, malah ibu, dan abangnya pernah berusaha bertemu mereka sebelum Ramadan lalu.

"Keluarga saya sanggup datang dari jauh untuk bertemu dengan ibu bapa mentua sebelum Ramadan lalu dalam usaha menjernihkan hubungan kami. Tetapi dalam perbincangan itu, hanya saya dipersalahkan.

"Banyak perkara diungkit-ungkit. Tidak apalah. Keluarga saya pun hanya berdiam diri dan berjanji mahu mempertemukan kami secepat mungkin.

"Walaupun keluarga saya pernah dimarahi dan disumpah seranah, mereka masih berharap sengketa ini tidak berpanjangan. Bagaimanapun, tidak sampai dua hari selepas pertemuan itu, anak saya, Airit Rayyan ‘dilarikan’ suami untuk bertemu keluarganya ketika saya bekerja.

"Saya pelik. Kenapa nak sorok-sorok bertemu cucu. Kenapa tidak tunggu saya ada bersama sekali? Keluarga saya memang kecewa. Saya pula tentunya lebih lagi. Jelas, mereka hanya mahukan anak saya, bukan saya.


"Ketika mengandung, mereka tidak mengaku Airit Rayyan sebagai cucu. Nak ambil berat soal saya jauh sekali. Kenapa sekarang nak ambil anak saya pula? Kalau mereka anggap anak itu cucu mereka, habis saya ini yang melahirkan Airit Rayyan siapa pula?" katanya dengan nada kesal.

Pelakon filem Mami Jarum itu berkata, kenyataan kakak iparnya dalam sebuah portal hiburan yang mengatakannya patut memaafkan keluarganya menimbulkan tanda tanya.

"Saya tidak mengharapkan mereka memohon maaf pada saya. Apapun orang tua yang saya hormati, tak perlulah mereka mohon maaf pada saya.

"Terima saya seadanya pun sudah cukup menggembirakan hati. Janganlah keluar kenyataan yang seolah-olah saya ini jahat sangat. Lagi banyak bercakap, lagi banyak buat silap,” katanya lagi.

Rita berkata, soal siapa yang perlu minta maaf tidak perlu ditimbulkan walaupun dirinya sudah menelan cukup banyak kata-kata penghinaan.


"Dulu mereka tidak mengaku buat silap, kejahatan hanya nampak pada saya. Apa yang berlaku membuatkan hati saya terluka semula. Selama ini, apa yang tidak pernah mereka lakukan pada saya?

"Macam-macam penghinaan dilemparkan kepada saya. Malah mereka pernah ucapkan pada saya ‘selamat menjadi janda kali kedua’. Apa maksud mereka?


"Saya baca kata-kata nista mereka yang disebarkan dalam Facebook hari ini. Tetapi semua itu saya pendamkan saja. Tidak pernah saya balas kata-kata penghinaan itu dengan membuat kenyataan dalam mana-mana media.


"Saya akui hubungan saya dengan suami tidak pernah berdepan dengan masalah, malah kami bahagia, tetapi dek perbuatan yang melampau ini, rumah tangga kami ada kalanya goyah," katanya dengan sebak.

p/s :: tak semua orang itu sempurna... berilah kemaafan, itu yang sebaiknya. tak ada ruginya.. kita hidup sesama manusia, sekejap je di dunia ini.. apa salahnya kita berbaik2.. buang yang keruh ambil yang jernih..

KENYATAAN BAPA AIDIL




“Biarlah apa pun yang dia nak cakap,” kata Abd Radzak Salleh dalam reaksi balas terhadap kenyataan menantunya, Rita Rudaini Mokhtar yang mendakwa rumah tangganya kini goyah akibat campur tangan individu tertentu, termasuk keluarga mentua.

Sambil reda dengan jodoh Rita dan Mohd Aidil Zafuan, 23, kerana ia ketentuan Tuhan, Abdul Radzak, 61, berkata mereka sekeluarga tidak tergamak bertindak sesuatu atau memburukkan pelakon berkenaan dan buat masa ini beliau dan keluarga tidak mahu mengulas lanjut pendedahan Rita yang disiarkan Berita Harian, semalam.

“Saya tak mahu ulas kenyataan pelakon itu (Rita) kerana sehingga kini pun kami tak dapat apa-apa maklumat daripada Aidil (Mohd Aidil Zafuan) yang kini ada di Vietnam bersama skuad bola sepak kebangsaan.
“Ada baiknya kami ahli keluarga berbincang dulu, terutama dengan Aidil kerana ia membabitkan kepentingan rumah tangga mereka. Biarlah dia (Rita) yang buat kenyataan atau apa juga yang dia nak cakap... kami perlu ambil masa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Rashibah Indah, Sikamat di sini, semalam.

Semalam, Berita Harian menyiarkan kenyataan Rita, 34, mendakwa rumah tangganya bersama Aidil, 23, yang dibina atas dasar cinta mula goyah, banyak disebabkan mulut dan campur tangan individu tertentu, terutama keluarga mentua. Mereka yang berkahwin dua tahun lalu dikurniakan cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizkin.

Abd Radzak yang kelihatan kurang sihat kerana penyakit paru-paru berkata, beliau perlu mendapat maklumat jelas daripada Aidil bagi mengelak kenyataan yang tidak benar dan memalukan keluarga, selain tidak mahu tumpuan anaknya terhadap karier dan tanggungjawab bersama pasukan bola sepak negara dan Negeri Sembilan terganggu.

“Kami belum dengar apa-apa daripada Aidil, malah sebelum ini pun kami tak pernah pergi ke rumah mereka di Kuala Lumpur dan tidak tahu hal rumah tangga mereka. Laporan yang kami dihalau ketika berkunjung ke rumah mereka juga tidak benar kerana memang kami tidak pernah ke sana, kecuali ketika Rita melahirkan Airit,” katanya.
Mengenai dakwaan bahawa Aidil sudah lama tidak menjenguk Rita dan bayi mereka, termasuk meraikan Aidilfitri lalu bersama keluarga masing-masing, beliau berkata, setiap kali selesai perlawanan bola sepak, Aidil pulang ke Kuala Lumpur.

“Aidilfitri lalu, Aidil baru selesai dengan tugasannya bersama skuad bola sepak kebangsaan di luar negara. Dia ada cuti singkat kerana terpaksa memberikan komitmen kepada skuad Negeri Sembilan pula bagi menghadapi perlawanan dengan Kelantan di Kota Bharu.

“Kami tidak campur tangan dalam jadual Aidil. Jika dia nak berhari raya di mana pun, terpulang kepadanya,” katanya yang turut kesal dengan dakwaan Rita bahawa Aidil melarikan Airit untuk bertemu keluarga pemain bola sepak itu.

“Wajarkah tindakan Aidil membawa anaknya bertemu datuk dan nenek dituduh sebagai melarikan anak?” katanya.
p/s::buat lah yang terbaik...jangan ikutkan kata amarah.. seeloknya berbaik2...usah berdendam dan membenci..itulah yang terbaik..berdoa...dan terus berdoa untuk kebahagiaan anak-anak...








Aidil mahu bincang terlebih dulu hal rumah tangga

Pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, 23, mahu berbincang terlebih dulu dengan keluarganya berhubung keadaan rumah tangganya yang dikatakan mulai goyah ketika ini.

Aidil Zafuan berkata, beliau masih belum membaca laporan akhbar dibuat isterinya, Rita Rudaini Mokhtar, 34, kerana kesibukan tugas yang digalasnya di dalam dan luar negara.

“Saya baru tiba dari Vietnam untuk perlawanan Piala Millenium Thang Long dan saya tidak mengetahui mengenai cerita ini dan akan melihat laporan akhbar yang dibuat oleh Rita sebelum berbincang dengan keluarga saya.
“Malam ini (semalam) saya ada perlawanan di Seremban dan keesokannya pula, saya akan berada di Singapura selama dua hari...jadi, saya perlukan masa,” katanya ketika dihubungi sejurus tiba dari Vietnam, semalam.



Aidil Zafuan yang tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkahwinannya itu berkata, beliau akan membuat kenyataan sebaik saja mengadakan perbincangan dengan keluarganya dalam tempoh terdekat ini.

Kelmarin, Berita Harian menyiarkan kenyataan Rita mendakwa rumah tangganya bersama Aidil yang dibina atas dasar cinta, mulai goyah disebabkan campur tangan individu tertentu, terutama keluarga mentuanya.

Pasangan itu mencetuskan kontroversi apabila bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 kerana dikatakan tidak mendapat restu keluarga suaminya.
Hasil daripada perkahwinan lebih dua tahun itu, Aidil Zafuan dan Rita dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizkin yang kini berusia setahun tiga bulan. 


p/s:: usah abaikan keluarga... buatlah keputusan yang terbaik..seelok-eloknya satukan mereka yang salah faham...jgn biarkan perkara ini berlarutan...anda boleh melakukannya..


sumber petikan:: BERITA HARIAN.

No comments:

Post a Comment