Tuesday, 28 September 2010

Siti jumpa doktor pakar di London




AIDILFITRI tahun ini memang saya bercuti sakan. Selepas cuti 10 hari, saya minta cuti tambahan bagi memberi tumpuan kepada anak kedua yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Selasa lalu.
Apabila kembali bertugas Khamis lalu, sibuk pula memenuhi undangan rumah terbuka. Bermula dengan rumah terbuka Astro di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada sebelah tengah hari kemudian sebelah petang ke rumah terbuka produser Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Muhd Jiwa atau mesra dipanggil Kak Ton di Kemensah Heights, Hulu Klang.
Riuhlah khemah di luar rumah apabila bertemu pengarah Erma Fatima bersama dua adiknya, Datin Paduka Umie Aida dan Betty serta kawan baiknya, Julia Juhasu (Suhan Movies & Trading) serta produser Ziela Jalil (Pena Creative Sdn Bhd). Umie siap berpesan jangan lupa datang ke rumah terbukanya esok malam (Jumaat lalu) di kediamannya di Bukit Kiara. Bagaimanapun, saya tidak sempat bertemu Datuk Siti Nurhaliza yang difahamkan datang selepas Maghrib kerana Siti berpuasa pada hari itu. Sudah tentu persoalan mengenai berita kehamilan Siti menjadi topik perbincangan, apatah lagi sejak Siti mengatakan ingin berehat dari kegiatan seninya, sejak Ogos lalu.


Ramai bertanya apakah Siti berbadan dua? Kali terakhir bertemu Siti dan bertanya soalan ini ketika majlis buka puasa SimplySiti dan juga sempena ulangtahun ke-4 perkahwinan Siti dengan Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa atau Datuk K di Hotel JW Marriott, KL, 30 Ogos lalu, jawapan Siti masih sama - belum ada rezeki.


Bagaimanapun, Siti mengaku tidak akan putus asa dan terus berusaha dan berdoa semoga dikurniakan cahaya mata pengikat kasih perkahwinannya dengan Datuk K. Kata Siti, walaupun perkahwinannya dengan Datuk K belum dikurniakan anak, dia percaya dan yakin dengan ketulusan cinta dan kasih sayang suami yang tidak berbelah bagi suami buat dirinya. Malah dalam tersipu-sipu, Siti mengakui dirinya umpama 'baby' kepada Datuk K yang sentiasa melayannya dengan penuh kasih sayang. Sebagai hadiah ulang tahun keempat perkahwinan mereka, Datuk K membawa Siti bercuti di London sebelum menunaikan umrah, awal Ogos lalu. Difahamkan, Siti dan suami juga berjumpa doktor di London untuk mendapatkan nasihat dan turut diberi ubat kesuburan untuk Siti.


Kata Datuk K, selama ini Siti mendapatkan rawatan dengan pakar perbidanan di hospital swasta di Kuala Lumpur tetapi apa salahnya berjumpa pakar di London untuk mendapatkan pandangan kedua. Datuk K juga sanggup melakukan apa saja demi memenuhi impian isterinya mendapat zuriat sendiri.


Selepas empat tahun usia perkahwinan mereka, Siti dan Datuk K mampu melayarinya dengan baik dan segala gosip mengenai perkahwinan mereka mula hilang, berbeza pada awal perkahwinan dulu apabila mereka terpaksa menepis pelbagai gosip mengatakan rumah tangga mereka bergoncang dan macam-macam lagi.


Melihat kemesraan pasangan ini di depan mata, sememangnya mereka kini cukup bahagia. Datuk K juga sudah dapat menyesuaikan diri dengan perhatian dan tumpuan media terhadap isterinya. Apabila diminta bergambar bersama, Datuk K tidak lagi kekok malah begitu romantik memeluk mesra isterinya. Berita mengenai kehamilan Siti kembali hangat diperkatakan, baru-baru ini apabila diva pop terpaksa membatalkan satu konsertnya di Pulau Pinang, atas alasan nasihat doktor. Ramai beranggapan, penyanyi itu mengandung dan perlu berehat serta tidak boleh bergerak aktif.


Sekali lagi Siti mengakui, dirinya belum hamil dan dia hanya mematuhi nasihat doktor yang tidak membenarkannya bergiat aktif. Difahamkan, penyanyi itu mendapatkan rawatan dengan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.


Dalam usaha mereka mendapatkan anak, doktor menasihatkan Siti banyak berehat dan tidak terlalu aktif menyanyi. Jika banyak berehat, peluang untuk hamil lebih cerah.


Ada juga khabar mengatakan, Siti turut menjalani rawatan persenyawaan tabung uji atau IVF (In Vitro Fertilisation). Rawatan lain yang digosipkan juga adalah melalui permanian berhadas (IUI).

Lihatlah, pasangan berkahwin melakukan macam-macam cara untuk mendapatkan anak tetapi saban hari pula kita dengar bayi yang tidak berdosa dibuang macam sampah oleh ibu bapa yang tidak bertanggungjawab. Dalam pada itu, tahniah juga buat pelakon dan pengacara Serina Redzuawan yang selamat melahirkan anak lelaki, Tristen Tareef di Hospital Prince Court Kuala Lumpur pada 13 September lalu (raya keempat). Bayi dengan berat 2.85 kilogram itu dilahirkan secara normal, jam 6.13 petang.

Begitu juga penyanyi dan pelakon popular Indonesia, Bunga Citra Lestari kini bergelar ibu apabila melahirkan bayi lelaki diberi nama Noah, pada Rabu lalu di Rumah Sakit Brawijaya, Jakarta. Bunga bersalin melalui proses pembedahan. Kita berdoa satu hari akan tiba pula giliran Siti pula menjadi ibu pula.



sumber: Harian Metro

4 comments:

  1. Waa, ni mesti ada apa2 dato ct jumpa doktor nih yang mungkin biarlah rahsia. :)

    DiGi iPhone 4 Win

    ReplyDelete
  2. duit byk, nak jumpa doc kat negara mn pun tak ada masalah. best nyer lah

    ReplyDelete
  3. feyus : dato ct ni smua benda rahsia kannn...nak exclusive laaa katakan

    ReplyDelete
  4. noreed : betul...hahaha.. yg pnting berusaha...dn berdoa..

    ReplyDelete