Wednesday, 22 September 2010

Dato' Siti terkenang arwah abah.


Pesona Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 31, bukan hanya pada wajah, sifat santun mahupun suaranya yang tiada tandingan, tetapi juga semangat ketabahannya dalam mengharungi lautan berkaca sebagai anak seni.

Siti nyata sangat cekal dan kalis tohmahan. Pun begitu walaupun wajahnya sering menguntum senyuman manis di khalayak ramai, sebagai wanita, air matanya selalu tumpah lebih-lebih lagi apabila terkenang arwah abahnya yang sudah pergi buat selama-lamanya.

Tanpa diduga, tanggal 15 Februari 2009 menjadi saat paling sayu buat Siti dan seluruh keluarganya apabila ayahanda tercinta, Tarudin Ismail, kembali ke rahmatullah.

Berikutan itu, kesedihan terus bersarang dalam diri Siti selama berbulan-bulan lamanya. Malah pada beberapa sidang media selepas peristiwa sedih itu, Siti sering menangis apabila kenangan bersama abahnya disentuh.

Hampir dua tahun berlalu, Siti kini sudah boleh menerima hakikat perginya seorang ayah. Namun, untuk Siti melupakan gelak tawa abah, itu tidak mungkin sama sekali. Segala-galanya terasa masih jelas di kelopak mata.

Kini, hanya doa yang mampu Siti dan adik-beradiknya panjatkan setiap hari agar roh abah dicucuri rahmat.

Lalu kesempatan pulang ke Kuala Lipis, baru-baru ini bagi menjayakan majlis 'reunion' terbesar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK Clifford, Siti gunakan untuk menziarahi pusara abahnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyang, Kuala Lipis.

Peluang ini juga direbut Harian Metro dan Rap untuk merakamkan saat-saat mengharukan membabitkan Siti, suaminya, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa dan ibu, Siti Salmah Bachik.

Tidak ketinggalan adik-beradik Siti iaitu abang sulungnya, Saifullizan dan isteri, Isma Lazim, bersama anak-anak, Asraf, Aiman dan Adam.

Juga abang kedua, Saiful Bahri (Ayie) dan isteri, Rozi Abdul bersama anak, Putera Saiful Naim Nazhim, Putera Saiful Nabil Nabhan dan Puteri Siti Nurinsyirah Damia.

Turut kelihatan kakak Siti iaitu Siti Nor Saida dan suami, Mohd Ghazali bersama cahaya mata mereka, Nyssa, Anas, Khalid dan Marshitah selain tiga adik Siti yang masih bujang - Mohd Ali, Siti Nur Sairah dan Hafiz.

"Alhamdulillah Siti, emak dan adik-beradik yang lain sudah dapat menerima dan mula membiasakan diri hidup tanpa arwah abah.

"Cuma semakin dekat dengan hari raya, hati Siti semakin sayu. Makin kuat memori kami bersama abah. Masih terbayang wajah abah yang biasanya akan pastikan kami semua pakai baju baru.

"Kalau pada pagi raya pula, abah biasanya sibuk membasuh halaman rumah selain mengejutkan kami semua supaya bangun lebih awal. Kemudian kami akan duduk makan bersama-sama di meja dan seterusnya mencium tangan abah dan emak untuk memohon ampun dan maaf. Seterusnya kami beramai-ramai pergi ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri," kata Siti.

Akui Siti, tanpa restu daripada abahnya, mungkin dia tidak akan menjadi penyanyi seperti sekarang dan mengecapi kebahagiaan hidup. Malah penghibur berbintang Capricorn itu tidak pernah menidakkan abahnya adalah insan paling berpengaruh dalam kejayaan kariernya.

"Abah orang pertama yang menyokong bakat Siti apabila dia membelikan set karaoke ketika Siti masih bersekolah rendah supaya Siti boleh berlatih menyanyi dan seterusnya menyertai pertandingan nyanyian.

"Abah jugalah orang yang membuat persetujuan menandatangani kontrak Siti sebagai artis rakaman apabila Pengarah Urusan Suria Records (SRC), Tan Su Loke datang ke Kuala Lipis untuk menawarkan peluang pertama itu.

"Pengorbanan abah masih Siti ingat sehinggalah hari ini. Malah meskipun tidak suka menaiki kapal terbang dan berjalan jauh-jauh, arwah abah sanggup juga pergi ke London semata-mata untuk menyaksikan konsert Siti di Royal Albert Hall pada 1 April 2005 dulu," ujar Siti.

Pada 23 hingga 28 Ramadan yang lalu, Siti berlepas ke tanah suci lagi untuk mengejarkan umrah selepas kira-kira sebulan kembali dari Makkah.

Tahun ini Siti dijadual pulang beraya ke kampung suaminya di Kedah. Malah kata Siti, ibunya turut diajak Datuk K termasuk semua ahli keluarga untuk beraya di sana.

"Tapi emak macam keberatan. Dia lebih selesa meraikan Aidilfitri di Kuala Lipis. Katanya, mahu dekat dengan pusara arwah abah. Siti faham dan Siti tidak mahu emak berasa sedih.

"Setiap tahun Siti dan suami juga mengamalkan sistem beraya secara bergilir-gilir. Nampaknya tahun ini ia berpihak suami Siti pula. Bagaimanapun, pada raya kedua atau ketiga, Siti akan meraikannya di Kuala Lipis pula," kata Siti.

Pada kesempatan hari baik, bulan baik ini, Siti sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua peminat khususnya pembaca Harian Metro.




No comments:

Post a Comment